BRUNEI MUARA, Selasa 25 Jan 2022 – Seorang wanita (suspek) telah berjaya diberkas oleh keanggotaan daripada Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat dalam menjalankan aktiviti yang tidak bermoral.
Serbuan yang dijalankan pada 25 Januari 2022 sekitar waktu petang itu mensasarkan ke salah sebuah rumah tumpangan di kawasan Mulaut, di mana suspek merupakan seorang wanita warganegara tempatan berumur 35 tahun dipercayai menjalankan aktiviti menawarkan khidmat seks.
Pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian juga telah menemukan beberapa barangan bukti seperti telefon bimbit dan wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan kegiatan berkenaan.
Suspek ditahan dan seterusnya menjalani ujian saringan (swab test) COVID-19 sebelum siasatan lanjut dikendalikan. Kes ini di siasat bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman jenayah Penggal 22.
Pihak Polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
