BRUNEI MUARA, Selasa 11 Jan 2022 – Dua orang wanita dan seorang lelaki telah berjaya diberkas oleh Pihak Polis kerana dipercayai terlibat dalam menjalankan aktiviti tidak bermoral. 

Serbuan di dua bilik sewa berasingan di Kg Jalan Beribi itu dikendalikan pada 10 Januari 2021 kira-kira jam 2.42 dan 2.45 petang oleh pegawai dan para anggota daripada Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Tiga orang suspek berkenaan merupakan seorang wanita warganegara tempatan berumur 37 tahun dan seorang wanita warganegara asing berumur 47 tahun yang mana kedua-duanya dipercayai terlibat dalam menawarkan khidmat seks serta seorang lelaki warganegara asing berumur 47 tahun dipercayai terlibat kerana membayar untuk perkhidmatan seks berkenaan. 

Hasil daripada pemeriksaan juga telah menemukan dan merampas beberapa barangan bukti seperti telefon bimbit,kepingan kondom dan juga wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tersebut. 

Kesemua suspek yang ditahan segera dibawa bagi menjalani ujian saringan COVID-19 (Swab Test) dan seterusnya dijalankan siasatan di bawah Seksyen 294A Kesalahan menawarkan khidmat seks dan 294B Kesalahan membayar untuk perkhidmatan seksual, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan agar melaporkan ke talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei 993 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI