MUARA, Ahad 9 Jan 2022 – Sebuah bot kecil bersama pemandu (suspek) ditahan keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di sekitar perairan kawasan Sungai Kupang, Daerah Brunei Muara kerana dipercayai dalam keadaan mencurigakan. 

Kejadian penahanan berlaku pada 8 Januari 2022, sekitar awal pagi semasa Polis Peronda Sungai sedang membuat rondaan di kawasan perairan Sungai Brunei. 

Pemeriksaan segera dijalankan dan telah mendapati terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah tersimpan di dalam beg sandang kepunyaan suspek. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 46 tahun. Suspek dan barang bukti serta bot telah dibawa ke Polis Marin bagi siasatan awal seterusnya diserahkan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan lanjut. 

PPDB melalui Polis Marin akan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan rambang di kawasan kawalan bagi memastikan negara bebas dari sebarang kegiatan mahupun aktiviti berbaur jenayah. PPDB turut mengingatkan kepada masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan tampil atau mengongsikan membuat laporan jika mengesan aktiviti dan individu yang mencurigakan di kawasan mereka. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI