MUARA, Isnin 3 Jan 2022 – Satu Operasi Sepadu melibatkan kolaborasi pencegahan jenayah dan sekatan jalanraya telah dikendalikan semalam 2 Januari 2022 bertempat di persekitaran jalan Pantai Serasa dan beberapa jalan utama Kampung Serasa, Daerah Brunei Muara.
Operasi tersebut itu telah melibatkan beberapa jabatan di dalam Pasukan Polis Diraja Brunei terdiri daripada Pegawai dan anggota dari Daerah Polis Brunei Muara, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Jabatan Perisikan Jenayah (JPJ) serta daripada Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Operasi yang bermula pada jam 5 petang itu diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Fathdillah bin Hj Abd Hamid.
Berikutan daripada operasi berkenaan, Pihak Polis telah mengeluarkan sejumlah 24 kesalahan kompaun dan 6 kesalahan doket yang melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68.
Diharapkan dengan operasi-operasi yang kerap dijalankan ini akan memberikan panduan dan kesedaran akan kepentingan mematuhi peraturan undang-undang di Negara Brunei Darussalam, di samping memohon kepada masyarakat awam agar turut sama memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kepada agensi-agensi penguatkuasa dengan menyalurkan maklumat yang berguna agar kegiatan-kegiatan jenayah dapat dibanteras dengan sebaiknya sehingga ke peringkat akar umbi demi untuk menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
Dalam pada itu juga, turut diterapkan kepada anggota-anggota yang bertugas untuk mengamalkan sifat sopan, berhemah dan berdisiplin semasa operasi dijalankan bagi tujuan pendekatan, interaksi dan mewujudkan kepercayaan masyarakat awam dalam usaha berganding bahu membendung dan mencegah jenayah secara lebih efektif di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
