BELAIT, Ahad 2 Jan 2022 – Dua (2) Operasi sekatan jalanraya secara berasingan telah dikendalikan melalui Operasi Sepadu Agensi Penguatkuasa Undang-Undang pada 1 Januari 2022 di dua kawasan di Daerah Belait. 

Operasi Sepadu itu melibatkan 3 agensi penguatkuasa yang terdiri dari pegawai dan anggota dari Daerah Polis Belait dan Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN). 

Operasi sekatan tertumpu di kawasan Jalan Tengah Panaga Seria dan kawasan Lebuhraya Seria By Pass, Daerah Belait. 

Dalam operasi berkenaan, pihak penguatkuasa telah menemukan beberapa kesalahan yang melibatkan akta masing-masing berikutan daripada pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan semasa operasi tersebut. 

Hasil daripada operasi telah mencatatkan; 

PPDB : 19 tindakan kompaun dikeluarkan melibatkan kesalahan cukai kenderaan mansuh, lesen memandu mansuh, ubah usai kenderan dan beberapa kesalahan lagi. 

JKED : 4 kesalahan ditemui melibatkan penemuan barang tegahan rokok serta minuman keras. 

Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahupun keamanan di negara ini. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI