BELAIT, Sabtu 25 Dis 2021 – Dua (2) Operasi Sepadu melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini telah dikendalikan di Daerah Belait pada petang 24 Disember 2021. 

Operasi pertama melibatkan Operasi Sepadu Sekatan Jalanraya yang telah dikendalikan di kawasan Lebuhraya Lumut. Adapun operasi berkenaan terdiri daripada keanggotaan Daerah Polis Belait, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Alvin Goh. 

Hasil daripada operasi sepadu tersebut telah mencatatkan kesalahan ; 

PPDB – 1 kesalahan doket dan 33 kesalahan kompaun melibatkan insuran memandu dan kenderaan yang mansuh, tidak menggunakan tali pinggang keselamatan dan beberapa jenis kesalahan lagi. 

JPD – 11 kesalahan 

JKED – 1 (Penemuan barangan tegahan iaitu rokok pelbagai jenama) 

Manakala operasi kedua adalah melibatkan Operasi Sepadu Pencegahan Jenayah yang dikendalikan pada 24 Disember 2021 bermula pada jam 10 malam. Operasi Sepadu diketuai oleh Pemangku Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Belait, Penolong Penguasa Polis (ASP) Dennie Adli bin Hj Sulaiman beserta penglibatan 4 agensi penguatkuasa terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN). 

Sebanyak dua (2) lokasi menjadi sasaran operasi pada malam semalam yang menumpukan kepada rumah kediaman pekerja-pekerja asing di kawasan tadahan Kuala Belait. 

Hasil daripada operasi sepadu tersebut telah mencatatkan kesalahan ; 

JKED – 1 kesalahan melibatkan penemuan barang tegahan rokok

JIPK – 16 kesalahan melibatkan pas kerja mansuh 

Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahu pun keamanan di negara ini. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI