GADONG, Sabtu 18 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Yang Mulia Sulaiman bin Alidin untuk dinaikkan pangkat dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bermula pada 16 Disember 2021. 

Sehubungan dengan itu, majlis kenaikan pangkat dan perlantikan selaku Timbalan Pesuruhjaya Polis telah berlangsung pada pagi tadi 18 Disember 2021 di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis (CP) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI). 

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Para Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, Ketua-Ketua Formasi, Pegawai-Pegawai Pemerintah, Pegawai-Pegawai Kanan serta ahli keluarga Timbalan Pesuruhjaya Polis. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh PC 6474 Ak Mohd Abdul Haffiz bin Pg Rosdeeaffandi, Bilal Surau Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Di majlis berkenaan, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB telah menyempurnakan pemasangan pangkat dan juga penyerahan surat perlantikan kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis yang baharu.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI