BERAKAS, Isnin, 11 Mei 2026 – Unit Kemasyarakatan dan Pengawasan Kejiranan, Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pagi tadi telah menganjurkan Aktiviti Sosial Pengawasan Kejiranan berupa Taklimat Kesedaran Jenayah Siber dan Taklimat Kesedaran Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Penguasa Polis Percubaan Mohammad Elmi Shahri bin Haji Osman, Pegawai Penguasa Balai Polis Berakas. Turut hadir ialah Insp Hamdan bin Mantul, Penolong Pegawai Unit Perhubungan Awam.

Sesi pertama dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak (USJPWKK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), manakala sesi kedua diteruskan dengan taklimat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Seramai 110 orang telah menghadiri taklimat tersebut yang terdiri daripada Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, ahli-ahli Pusat Kegiatan dan Pusat Pertubuhan Wargamas Daerah Brunei-Muara serta Ahli-Ahli Pengawasan Kejiranan Daerah Brunei-Muara.

Aktiviti seumpama ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya ahli-ahli Pengawasan Kejiranan, terhadap ancaman jenayah semasa termasuk jenayah siber serta kes penderaan wanita dan kanak-kanak. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama dan hubungan erat di antara pihak polis dan komuniti dalam sama-sama memelihara keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI