KUALA BELAIT, Ahad 12 Dis 2021 – Seramai 13 individu telah dijalankan siasatan oleh keanggotaan Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai telah mengadakan pesta perkumpulan dipercayai melanggar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 di sebuah pangsapuri Jalan Singa Menteri, Kuala Belait pada 11 Disember 2021 sekitar awal malam semalam.
Antara yang ditahan semasa serbuan ialah 13 orang individu lelaki dan perempuan berumur dalam lingkungan 16 hingga 51 tahun dan 3 orang kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.
Pemeriksaan turut dijalankan di dalam pangsapuri tersebut dan telah menemukan beberapa botol minuman keras pelbagai jenama di bilik pangsapuri berkenaan.
Kesemua barangan bukti telah dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. Kesemua individu yang terlibat dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait bagi menjalani ujian saringan COVID-19 dan seterusnya akan dijalankan siasatan selanjutnya.
Di samping itu, PPDB menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi dan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan bagi membantu pihak kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
PPDB akan sentiasa bertanggungjawab mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam, mencegah dan mengesan jenayah dalam memastikan keselamatan negara berada pada tahap yang terkawal.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
