TEMBURONG, Rabu 8 Dis 2021 – Peroperasian pihak polis yang berterusan dengan menggerakkan keanggotaan petugas dalam strategi pencegahan jenayah telah membuahkan hasil bilamana sebuah kenderaan dan seorang pemandu (suspek) yang cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis telah berjaya ditahan bagi menjalani siasatan. 

Insiden berkenaan berlaku pada 8 Disember 2021 sekitar jam 5.25 pagi semasa sekatan jalanraya dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan Brunei Bridge Authority, Daerah Temburong. 

Sebanyak 6 bungkusan kotak yang mencurigakan telah ditemui pihak polis di kawasan semak berhampiran kenderaan suspek dipercayai dibuang sebelum berjaya ditahan. 

Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan-bungkusan tersebut mendapati pelbagai barangan tegahan serta barangan tidak diisytiharkan ditemukan seperti minuman keras, barangan kosmetik dan kecantikan, madu serta barangan kesihatan. 

Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan, anggota beruniform dan berumur 37 tahun. Setelah selesai siasatan awal dijalankan, suspek kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani proses-proses kuarantin. Kes siasatan dan barang-barang bukti diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi tujuan pembenterasan kegiatan-kegiatan jenayah terutama sekali barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara seludup. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan-kegiatan sedemikian agar dapat berkongsi sama dengan menyalurkan terus melalui talian kecemasan polis 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI