BERAKAS, Sabtu 4 Dis 2021 – Insiden mengejutkan telah berlaku pada pagi tadi bilamana seorang bayi perempuan yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di kawasan perhentian bas, Jalan Pasir Berakas, Kg Lambak, Daerah Brunei Muara.  

Penemuan yang berlaku pada 4 Disember 2021 sekitar jam 11.50 pagi itu berpunca dari seorang pemandu (saksi) yang telah ternampak satu bungkusan yang mencurigakan diletakkan di atas bangku hentian bas berkenaan, saksi kemudian berhenti lalu menghampiri bungkusan tersebut seraya menemukan tubuh seorang bayi yang diselimuti kain tuala dalam keadaan bernyawa dan sedang tidur nyenyak. 

Saksi segera menghubungi talian kecemasan polis 993 dan segera mengaktifkan keanggotaan Balai Polis Berakas dan keanggotaan daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk hadir ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. 

Bayi tersebut segera dikejarkan ke Hospital RIPAS oleh ahli Paramedik bertugas bagi pemeriksaan kesihatan dan kini ditempatkan di wad Special Care Baby Unit (SCBU) bagi pemantauan lanjut. Siasatan juga mengesahkan bayi perempuan tersebut seberat 3.02 Kg dan dalam keadaan sihat dan stabil. 

Penyiasatan kes diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak bagi siasatan lanjut. PPDB memohon kepada orang ramai dan sebarang saksi mata untuk segera tampil bagi memberikan sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut melalui talian kecemasan 993 atau menghubungi talian 2459500 sambungan 490/333 atau menghadirkan diri ke mana-mana balai polis yang berdekatan. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI