BRUNEI MUARA, Isnin 29 Nov 2021 – Satu rakaman video telah tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan yang didapati telah dipandu dalam keadaan hala yang bertentangan dan menimbulkan perasaan cemas serta panik kepada para pengguna jalanraya yang lain.
Sehubungan dengan kejadian itu, keanggotaan penyiasat Balai Polis Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) segera menjalankan siasatan dan seterusnya mengesahkan mengenai kejadian tersebut ada berlaku di kawasan Lebuhraya Hassanal Bolkiah hala ke Bandar Seri Begawan pada 29 November 2021 sekitar jam 12.20 tengahari tadi.
Menerusi siasatan yang dijalankan, Pihak Polis telah berhasil mengesan pemandu (suspek) berkenaan seraya membuka kertas siasatan bagi mengetahui akan punca sebenar insiden berlaku.
Di samping itu, suspek juga akan berdepan dengan 2 kesalahan di bawah Akta Lalulintas Jalanraya Penggal 68 ;
1- Seksyen 28 : Pemanduan yang cuai dan merbahaya.
2- Seksyen 39 (1) b : Cuai dengan petunjuk arah isyarat lalulintas.
PPDB ingin menekankan kepada masyarakat awam untuk sentiasa patuh terhadap peraturan-peraturan jalanraya di negara ini tanpa sebarang kompromi. Pastikan untuk merancang perjalanan dengan lebih terperinci dengan merujuk petunjuk-petunjuk arah perjalanan bagi mengelak dari sebarang kemungkinan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku semasa dalam pemanduan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
