LUMAPAS, Khamis 25 Nov 2021 – Usaha sama menerusi Operasi Sepadu Taskforce Security Covid-19 di antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berjaya menemukan barangan tegahan yang cuba diseludup masuk ke negara ini. 

Penemuan tersebut berlaku pada 24 November 2021 bertempat di kawasan hutan Tanjung Dual, Kg Lumapas Daerah Brunei dan Muara semasa rondaan taskforce giat dijalankan seraya menemukan 12 longgokan bungkusan kotak-kotak berwarna hitam yang mencurigakan diletakkan di dalam kawasan hutan berkenaan. 

Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut telah mendapati barang tegahan iaitu rokok sebanyak 600 katon dengan pelbagai jenama. 

Kesemua barang tegahan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa proaktif dalam menjalankan penguatkuasaan dan rondaan di kawasan-kawasan sempadan negara bagi mengekang dan membanteras daripada terdedah dan menjadi laluan para penjenayah untuk menjalankan kegiatan jenayah. 

Di samping itu, PPDB memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang tegahan ke talian kecemasan polis 993 atau balai-balai polis berdekatan atau melalui laman media sosial Instagram @upa.ppdb.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI