BRUNEI MUARA, Sabtu 20 Nov 2021 – Operasi Peralihan agensi penguatkuasaan telah bermula semalam 19 November 2021, dengan mengekalkan objektif yang sama seperti sebelumnya iaitu memastikan masyarakat awam kekal patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengikuti segala garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan terhadap pembendungan dan pengawalan sepenuhnya penularan wabak COVID-19 yang berlaku di negara ini. 

Berikutan dengan transisi memasuki Fasa Peralihan ini, tempoh operasi yang dikendalikan telahpun dipendekkan iaitu bermula jam 10 malam sehingga jam 4 pagi. Walaupun di sebalik pemendekkan tempoh masa peroperasian, penguatkuasaan tetap dilaksanakan bahkan diperketatkan lagi bagi mengelak terjadi sebarang kealpaan dan celah-celah pengabaian dari kalangan orang ramai ke atas perintah dan arahan yang telah ditetapkan pihak kerajaan. 

Menerusi Operasi Peralihan bagi hari pertama dilaksanakan semalam, agensi-agensi penguatkuasaan yang diterajui oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mencatatkan sebanyak 4 pelanggaran arahan dan tindakan denda kompaun sejurus dikeluarkan kepada individu-individu berkenaan. 

Pelanggaran akta mengikut urutan daerah ; 

2 kesalahan di Daerah Brunei Muara

2 kesalahan di Daerah Belait

Kerjasama masyarakat awam sangat-sangat diharapkan ketika ini bagi sama-sama memikul tanggungjawab menyusuri fasa peralihan ini dengan mengikuti apa jua saranan dan arahan yang dikeluarkan demi untuk memulihkan keadaan negara daripada serangan dan penularan jangkitan wabak COVID-19 ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI