SENGKURONG, Isnin 15 Nov 2021 – Beberapa maklumat dan gambar telah tular di media sosial memaparkan seorang individu lelaki warga asing sedang memeluk dan memegang tubuh seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur yang dipercayai penuntut sekolah rendah. 

Ekoran dengan maklumat tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengesahkan bahawa laporan telah dibuat ke Balai Polis Sengkurong PPDB pada 15 November 2021. Suspek pada masa ini telahpun berjaya ditahan untuk membantu siasatan. 

Dalam pada itu, keanggotaan daripada Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB telah diaktifkan bagi mengendalikan siasatan tersebut dengan lebih lanjut dan terperinci. 

Adalah dinasihatkan kepada orang ramai yang mengetahui akan sebarang maklumat mengenai kejadian ini disarankan untuk tampil bagi memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam membantu siasatan atau menghubungi terus ke talian kecemasan Polis 993 atau di talian 2459500 sambungan 490 / 333. 

PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak lagi menularkan gambar-gambar kejadian kerana dikhuatiri akan mengganggu proses penyiasatan dan mendatangkan implikasi negatif dan tanggapan yang tidak berasas terhadap kejadian sebenar. 

Di kesempatan ini, PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa berterusan memberi bantuan dan kerjasama dalam menyalurkan apa jua maklumat kegiatan jenayah di negara ini kepada pihak polis sama ada berhubung terus ke balai-balai yang berdekatan atau menghubungi talian kecemasan Polis 993.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI