GADONG, SELASA, 28 April 2026 — Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), telah menahan seorang perempuan warganegara asing berumur 36 tahun dalam satu operasi serbuan ke atas sebuah hotel di kawasan Gadong pada malam Isnin.

Suspek ditahan di dalam sebuah bilik hotel berkenaan, disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran. Antara barang bukti yang turut dirampas ialah wang tunai, kondom, minyak pelincir, dua buah telefon bimbit serta sebuah buku catatan yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut.

Suspek bersama barang bukti telah dibawa ke JSJ untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A, Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).

PPDB akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang, dan menyeru orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 993.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI