GADONG, SABTU 25 April 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai peningkatan ketara kes jenayah penipuan dalam talian yang melibatkan penggunaan “akaun keldai” dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Sejak bulan Januari hingga April 2026, PPDB telah menerima peningkatan laporan berkaitan kes penipuan dalam talian yang menggunakan akaun bank milik individu bagi tujuan memindahkan dan menyembunyikan hasil jenayah. Akaun-akaun ini telah disewa atau diserahkan oleh pemiliknya kepada pihak ketiga tanpa menyedari implikasi undang-undang yang serius. Anggaran jumlah kerugian yang dilaporkan bagi tempoh ini adalah melebihi BND$1 juta, sekali gus menunjukkan keseriusan ancaman jenayah ini kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Hasil daripada siasatan yang dijalankan, seramai 45 orang individu yang terdiri 25 orang lelaki dan 20 orang wanita dalam lingkungan umur 18 tahun hingga 59 tahun telah ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti menyewakan akaun mereka untuk digunakan dalam jenayah penipuan dalam talian. Kesemua suspek disiasat di bawah peruntukan undang-undang iaitu Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22), Akta Penyalahgunaan Komputer (Penggal 194) dan Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012.

Dalam kes ini, sindiket akan memperdaya individu dengan menawarkan bayaran lumayan bagi penggunaan akaun bank seperti melalui tawaran pekerjaan palsu, pelaburan tidak wujud, serta arahan kewangan yang mencurigakan.

PPDB  menegaskan kepada orang ramai bahawa perbuatan menyewakan, meminjamkan atau menyerahkan akaun bank kepada individu lain — walaupun dengan alasan untuk “membantu” atau sebagai “sumber pendapatan mudah” — merupakan satu kesalahan serius. Individu yang terlibat boleh dikategorikan sebagai bersubahat dalam aktiviti jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa mengira sama ada mereka secara langsung terlibat dalam penipuan tersebut atau tidak.

Sehubungan itu, pihak polis juga menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak sesekali menyerahkan maklumat perbankan, kad ATM, nombor PIN atau akses akaun kepada mana-mana pihak. Orang ramai juga dinasihatkan supaya menolak sebarang tawaran yang mencurigakan yang melibatkan penggunaan akaun bank mereka oleh pihak lain.

PPDB akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan ini. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan dalam talian atau penggunaan akaun keldai adalah disarankan untuk melaporkan kepada pihak polis melalui talian 993 atau ke balai-balai polis yang berdekatan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLISPASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI