GADONG, Sabtu, 25 April 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI), pagi tadi telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi pegawai dan anggota PPDB yang akan menunaikan Ibadah Fardhu Haji bagi tahun 1447H bersamaan 2026M, bertempat di Surau Polis Gadong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis bersama Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Yang Di-Pertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI). 

Turut hadir Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, serta Pengarah-Pengarah, Timbalan-Timbalan Pengarah, Pegawai-Pegawai Pemerintah dan Pegawai-Pegawai Kanan, Anggota-Anggota Pangkat Rendah dan kakitangan PPDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh APO S/SGT 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian saguhati oleh Tetamu Kehormat kepada 4 orang pegawai dan 1 orang anggota, yang akan menunaikan Ibadah Fardhu Haji bagi tahun 1447H / 2026M.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, Doa Tolak Bala serta Selawat Tafrijiyyah.

Majlis ini diadakan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada pegawai dan anggota yang akan menunaikan Ibadah Fardhu Haji, di samping memohon agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta memperoleh haji yang mabrur. Diharapkan agar mereka kembali ke tanah air dengan selamat serta terus berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada agama, bangsa dan negara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI