GADONG, SABTU, 25 April 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan 13 orang suspek sejak pertengahan April 2026 berhubung kes-kes pencurian kabel dan pembelian barangan curi di beberapa kawasan dalam negara.

Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta (USPRCK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), telah menahan dua orang suspek lelaki tempatan berumur 30 dan 32 tahun pada pertengahan April di kawasan Bandar Seri Begawan, disyaki mencuri dan merosakkan kabel Unified National Networks (UNN) di sebuah bangunan di kawasan tersebut. Susulan siasatan, seorang lelaki warganegara asing berumur 39 tahun kemudiannya ditahan pada 20 April 2026, disyaki membeli kabel curi tersebut.

Di Daerah Temburong, Balai Polis Bangar telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun dan seorang perempuan tempatan berumur 39 tahun pada 13 April 2026 di kawasan Jambatan SHOAS. Beberapa keping besi dan gulungan wayar kabel dijumpai di dalam kenderaan mereka, dan siasatan mendapati mereka mencuri kabel milik UNN di kawasan berdekatan Kampung Bangar.

Balai Polis Berakas pula menahan dua orang lelaki warganegara asing berumur 38 dan 39 tahun pada 17 April 2026. Kedua-dua suspek, yang merupakan pekerja pembinaan di tapak projek tersebut, disyaki mencuri besi tembaga dari tapak projek pembangunan tempat mereka bekerja sendiri.

Di Daerah Belait, dua orang lelaki tempatan berumur 34 dan 46 tahun ditahan pada 23 April 2026, disyaki mencuri dan menjual kabel di kawasan Belait dan Brunei-Muara. Dan Pada 24 April 2026, 3 orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan, berumur sekitar 34 ke 51 tahun, telah ditahan di kawasan flat dipercayai cuba mencuri kabel.

Tangkapan-tangkapan ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh yang diketuai oleh USPRCK, dengan sokongan penuh semua balai polis daerah di seluruh negara sejak tahun lalu. Kerjasama antara pihak berkuasa di semua peringkat ini mencerminkan komitmen PPDB dalam membanteras jenayah pencurian kabel yang menjejaskan infrastruktur awam negara.

PPDB mengingatkan orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 993. Syarikat-syarikat kitar semula juga diseru untuk memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima bahan logam seperti tembaga yang mencurigakan sumbernya. Tindakan sewajarnya akan diambil ke atas syarikat-syarikat yang didapati menerima barang curi tanpa mengambil langkah-langkah yang berpatutan.

Di bawah Seksyen 411, Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22), kesalahan menerima atau menyimpan barangan curi boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Hukuman boleh dipanjangkan sehingga 10 tahun sekiranya kesalahan tersebut menjejaskan infrastruktur awam.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI