BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Februari 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa mesej tular di media sosial, yang menyatakan dua individu tempatan telah melakukan rompakan bersenjata dan kini bersembunyi di hotel serta sedang dicari oleh pihak polis, adalah maklumat palsu dan tidak benar.

PPDB memaklumkan bahawa tidak ada sebarang laporan atau aduan berkenaan kejadian tersebut telah diterima, dan siasatan telah dijalankan bagi mendapatkan punca bagi fitnah tersebut.

Penyebaran dokumen pengenalan diri individu-individu berkenaan secara tular di media sosial tanpa sebarang asas adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan maruah dan kesejahteraan mangsa yang difitnah, malah boleh mengganggu ketenteraman awam. PPDB menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak disahkan oleh pihak berkuasa, dan supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsikan.

PPDB mengingatkan bahawa menyebarkan maklumat palsu merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) dan Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam (Penggal 148) yang membawa hukuman penjara dan/atau denda, jika sabit kesalahan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI