BANDAR SERI BEGAWANSELASA, 21 April 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket scam penyamaran atau Macau Scam dalam satu operasi yang dijalankan oleh Daerah Polis Brunei Muara (DPBM) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada pagi tadi.

Operasi ini dilaksanakan hasil daripada maklumat yang disalurkan oleh orang awam. Suspek, seorang lelaki warganegara asing berumur 23 tahun, ditahan kerana disyaki bertindak sebagai “runner” dengan menyamar sebagai pegawai kerajaan bagi memperdaya mangsa. Beliau didapati mengumpul wang secara terus daripada mangsa yang telah diugut dan dimanipulasi melalui panggilan telefon oleh ahli sindiket yang lain.

Hasil operasi tersebut, beberapa peranti elektronik termasuk telefon pintar dan tablet, serta sebuah kenderaan telah dirampas bagi membantu siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan Jenayah (Penggal 22) dan Akta Penyalahgunaan Komputer (Penggal 194).

Pihak PPDB menegaskan bahawa perbuatan menyamar sebagai anggota penguatkuasaan dan kakitangan perbankan bagi memperdaya orang ramai merupakan satu kesalahan serius di sisi undang-undang. Sebarang penglibatan dalam aktiviti sedemikian, termasuk bertindak sebagai “runner” mahupun pemilik akaun keldai, akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi.

Pihak PPDB turut memaklumkan bahawa sejumlah besar kes berkaitan penipuan dalam talian, ScamPenyamaran atau ‘Macau Scam’ telah dilaporkan sejak kebelakangan ini dan angka tersebut amat membimbangkan. Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa agar lebih peka dan berwaspada, terutamanya terhadap individu yang mendakwa sebagai pegawai kerajaan, agensi kerajaan tidak akan meminta wang atau maklumat peribadi yang sensitif melalui panggilan telefon atau pertemuan tidak rasmi. Orang ramai juga diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk kegiatan penipuan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI