BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah menjalankan satu Operasi Sepadu pada awal pagi 12 April 2026 di sebuah premis di Kampung Lubok Tebangun, Kilanas, Daerah Brunei-Muara.

Hasil operasi tersebut, tiga orang individu warganegara asing telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut. Mereka terdiri daripada seorang lelaki berumur 52 tahun, serta dua wanita masing-masing berumur 33 dan 37 tahun.

Dalam operasi berkenaan, pegawai-pegawai JKED telah merampas pelbagai barangan yang disyaki melanggar peruntukan Perintah Kastam dan Eksais 2006. Barangan rampasan termasuk minuman beralkohol, mercun, peranti wap elektronik dan rokok.

Sementara itu, anggota PPDB daripada Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM) telah merampas peralatan perjudian seperti meja dan tail mahjong, kad token dan cip token dari premis yang sama. Kesalahan-kesalahan ini telah direkodkan di bawah Akta Rumah-Rumah Perjudian Terbuka, Penggal 28, dan 3 individu tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Keseksaan, Penggal 22 atas kesalahan menawarkan khidmat seks.

PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai bahawa aktiviti perjudian dan pelacuran merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam. PPDB kekal komited dalam menjaga ketenteraman awam dan memastikan pematuhan undang-undang negara secara menyeluruh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang disyaki menyalahi undang-undang adalah digalakkan untuk tampil ke hadapan. Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian kecemasan PPDB di nombor 993 atau dengan mengunjungi Balai Polis yang berdekatan. Kerjasama dan kewaspadaan masyarakat amat dihargai dan memainkan peranan penting dalam membantu pihak penguatkuasa menjaga keselamatan komuniti kita bersama.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI