GADONG, KHAMIS, 02 APRIL 2026 – Dalam usaha berterusan memperkukuh keupayaan operasi serta mempertingkatkan aset kenderaan polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini telah menandatangani kontrak Pembekalan dan Penyewaan Kenderaan Kategori Motosikal bagi tempoh lima tahun.

Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong, yang melibatkan dua syarikat automotif, iaitu QAF Auto Sendirian Berhad dan BTOP Motor Sendirian Berhad.

Hadir selaku tetamu kehormat serta menandatangani kontrak bagi pihak kerajaan ialah Yang Mulia Awang Zulhusam bin Haji Abd Samad, Pemangku Setiausaha Tetap Sekuriti dan Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM), bersama Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, serta pengarah-pengarah dan pegawai kanan PPDB, pegawai kanan daripada agensi-agensi kerajaan, dan wakil syarikat-syarikat yang terlibat.

Majlis tersebut menyaksikan pemeteraian perjanjian antara PPDB dengan dua syarikat berkenaan, iaitu QAF Auto Sendirian Berhad yang diwakili oleh Pengarahnya, Lau Loke Kwan, bersama Pengurus Kanan, Mary Loh Siew Chin, serta BTOP Motor Sendirian Berhad yang diwakili oleh Pengarahnya, Lim Kian Seng, bersama Pengurus Am, Violet Lim Wan Boon. Kedua-dua syarikat ini akan membekalkan 235 buah motosikal sewaan untuk kegunaan operasi PPDB.

Pembekalan ini bertujuan memastikan semua jabatan serta formasi di bawah PPDB dilengkapi dengan aset mobiliti yang terkini dan mencukupi, sekali gus memperkukuh keupayaan operasi pasukan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan masa tindak balas (response time) kepada orang awam. Perjanjian pembekalan dan penyewaan kenderaan bagi agensi keselamatan dan penguatkuasaan ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Konsolidasi Fiskal (FCP) yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan, mengukuhkan hasil negara, serta memperbaharui struktur ekonomi melalui memperkukuh kerjasama pihak kerajaan dan sektor swasta.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI