GADONG, Ahad, 15 Mac 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan tiga Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadhan bagi tahun 1447H bersamaan 2026M yang berlangsung pada hari Ahad 15 Mac 2026.

Pada sebelah pagi, dua majlis telah diadakan di Surau Polis Gadong dan Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, Mukim Berakas ‘B’.

Majlis di Surau Polis Gadong yang melibatkan seramai 26 orang anggota khatam merupakan anjuran Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI). Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Yang Di-Pertua PEKERTI bersama Yang  Mulia Dayang Nur Akmalia binti Lt Kol (B) Awang Iskandar selaku Pengerusi PEKERTI.

Sementara itu, majlis di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kg Sungai Akar, telah dihadiri oleh Snr. Supt. Haji Mahran bin Haji Ahmad, Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (DPBM) selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid. Majlis tersebut dianjurkan oleh Unit Pengawasan Kejiranan (UPK), Balai Polis Berakas dengan kerjasama Penghulu Mukim, Ketua Kampung, Pemangku Ketua Kampung serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid.

Pada sebelah petang, majlis yang sama turut diadakan di Surau Polis Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Panaga yang melibatkan seramai 30 orang anggota khatam anjuran Daerah Polis Belait. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis. Turut hadir, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis.

Majlis seumpama ini merupakan antara aktiviti keagamaan yang giat dilaksanakan oleh PPDB sepanjang bulan Ramadhan bagi menyemarakkan lagi suasana ibadah dalam kalangan warga pasukan. Melalui penganjuran pelbagai program seperti majlis khatam Al-Quran, tadarus dan ceramah agama, ia mencerminkan komitmen berterusan PPDB dalam memperkukuhkan nilai-nilai keagamaan, memupuk semangat kebersamaan serta meningkatkan penghayatan Islam dalam kalangan warga pasukan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI