TEMBURONG, Khamis, 12 Februari 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Bangar telah menahan empat orang lelaki warga tempatan dalam satu operasi awal pagi yang membawa kepada penemuan sejumlah besar barang tegahan serta bahan yang dipercayai berkaitan dengan dadah.

Pada jam lebih kurang 1.30 pagi, sepasukan anggota polis telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Rataie, Temburong. Kenderaan tersebut diekori sehingga kawasan Kg Perpindahan Rataie sebelum berjaya ditahan bersama empat orang lelaki berusia 29 hingga 44 tahun.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa pelbagai barang tegahan dipercayai diseludup, antaranya minuman keras pelbagai jenama sebanyak 624 Tin, serta 98 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis.

Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan sebuah beg berwarna hitam di dalam sebuah lagi kenderaan yang mengandungi bahan yang disyaki dadah berserta beberapa peralatan berkaitan. Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Bangar untuk siasatan lanjut oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang – undang yang berkaitan.

PPDB akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan atau pemilikan barang tegahan serta sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui balai polis berhampiran.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI