GADONG, Rabu, 11 Februari 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan bekalan elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang kripto di sebuah rumah persendirian di kawasan Kampung Tungku, Gadong.

Penahanan tersebut adalah hasil daripada satu operasi bersepadu yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Snr. Supt. Haji Mahran bin Haji Ahmad, dengan penglibatan pegawai dan anggota daripada Daerah Polis Brunei Muara, Balai Polis Bandar Seri Begawan, Unit Digital Forensik serta Unit Tempat Kejadian Jenayah (CSU) Jabatan Siasatan Jenayah. Operasi ini turut disokong oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Autoriti Bangunan dan Kawalan Industri (ABCI), Jabatan Tanah serta Cyber Security Brunei.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati bekalan elektrik telah disalurkan melalui pengubahsuaian tanpa kebenaran pihak berkuasa, kepada mesin perlombongan mata wang kripto.

Suspek kini sedang disiasat di bawah peruntukan Akta Elektrik, Cap 71 atas kesalahan penyelewengan bekalan elektrik tanpa kebenaran. Kesemua peralatan perlombongan mata wang kripto yang ditemui semasa operasi telah dirampas untuk siasatan lanjut dan pendakwaan.

Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan hasil daripada risikan serta pemantauan berterusan terhadap aktiviti yang disyaki melibatkan penggunaan bekalan elektrik secara tidak sah bagi tujuan perlombongan mata wang kripto.

PPDB menegaskan bahawa penyelewengan bekalan elektrik merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi membahayakan keselamatan awam serta menjejaskan kestabilan sistem bekalan tenaga negara. Sehubungan itu, PPDB dan pihak penguatkuasaan lain akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang.

Orang ramai adalah diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang melalui talian kecemasan polis 993 atau dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI