BRUNEI MUARA, Rabu, 05 Februari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput untuk menyampaikan beberapa siri taklimat bertajuk “Penipuan Dalam Talian” di beberapa buah lokasi pada 4 dan 5 Februari 2026.
Pada 4 Februari 2026, sesi taklimat telah diadakan di Institut Perkhidmatan Awam bagi peserta Program Persediaan Persaraan yang dihadiri seramai 30 orang kakitangan kerajaan, diikuti dengan taklimat untuk peserta Program Digital Literacy yang melibatkan seramai 21 orang peserta. Pada sebelah petang hari yang sama, taklimat turut disampaikan di Sekolah Rendah Dato Mahawangsa, Lambak dengan kehadiran 35 orang ibu bapa dan 20 orang guru.




Sementara itu, pada 5 Februari 2026, BSJS telah menyampaikan taklimat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan kepada 105 orang kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan. Taklimat diteruskan pada sebelah petang di Dewan Serbaguna Pasukan Simpanan ‘B’ Kompeni, yang dihadiri oleh 2 orang pegawai dan 112 orang anggota, serta disertai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Simpanan ‘B’ Kompeni, ASP Pengiran Khairul Anuar bin Pengiran Haji Salleh.



Kesemua taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dan Kopral 4747 Syalihen bin Haji Ludin, dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai modus operandi penipuan dalam talian serta langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
