BELAIT, Khamis, 5 Februari 2026 – Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan Hari Terbuka sempena Sambutan Hari Polis Ke-105 Tahun, yang berlangsung di Dewan Persidangan Kuala Belait pagi tadi. Program ini merupakan acara terakhir yang diadakan bersempena sambutan Hari Polis Ke-105 di peringkat PPDB.
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi menyempurnakan perasmian majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Amerol Hafizin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait. Turut hadir ialah ACP Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan selaku Pengerusi Sambutan Hari Polis Ke-105, serta SUPT Pengiran Abu Naba’a bin Pengiran Haji Yusop, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh CPL 5396 Wan Mahathir bin Wan Brahim. Selepas perasmian oleh Tetamu Kehormat, majlis diteruskan dengan Taklimat Jenayah Siber yang disampaikan oleh Inspektor Izzat bin Haji Basir daripada Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).


Penyampaian cenderahati kenang-kenangan kepada Tetamu Kehormat telah disempurnakan oleh ACP Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan doa penutup.
Seterusnya, Tetamu Kehormat dijemput untuk mengadakan lawatan ke ruang pameran yang disediakan, diikuti dengan jamuan. Kempen Derma Darah juga turut diadakan sebagai sebahagian daripada program.



Penganjuran Hari Terbuka ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara PPDB dan masyarakat setempat, meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap peranan dan tanggungjawab pasukan polis, serta menyemai semangat kerjasama berterusan antara pasukan keselamatan dan masyarakat. Program ini sekali gus melabuhkan tirai Sambutan Hari Polis Ke-105 dengan penglibatan komuniti yang bermakna.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
