BRUNEI MUARA, Selasa, 03 Februari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput untuk menyampaikan taklimat bertajuk “Penipuan Dalam Talian” kepada ibu bapa, guru-guru serta murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6 di Sekolah Ugama Rimba, Kawasan Brunei III.

Hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah Guru Besar Sekolah Ugama Rimba, Brunei III, Cikgu Hajah Rohayati binti Haji Hasan. Turut hadir seramai 15 orang guru, 83 orang ibu bapa dan penjaga, serta 220 orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 5 dan Tahun 6.

Taklimat telah disampaikan oleh Kopral 4747 Syalihen bin Haji Ludin, yang antara lain menyentuh mengenai jenis-jenis penipuan dalam talian yang sering berlaku, langkah-langkah pencegahan serta kepentingan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pelajar dan ibu bapa.

Sesi taklimat ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman penipuan dalam talian serta menggalakkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI