GADONG, Sabtu, 31 Januari 2026 – Bersempena Sambutan Hari Polis ke-105 Tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Pelancaran Pameran selama dua hari bermula 31 Januari 2026 di Stadium Hassanal Bolkiah Polis, Gadong, menandakan permulaan rasmi salah satu rangkaian program sambutan bagi tahun 2026.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir, para pegawai kanan PPDB, ketua-ketua formasi serta jemputan khas daripada pelbagai agensi berkepentingan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia ACP Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Polis ke-105 Tahun 2026. Seterusnya, Tetamu Kehormat telah menyampaikan ucapan perasmian sebelum melancarkan pameran secara rasmi melalui tayangan video montaj Sambutan Hari Polis ke-105.

Selepas majlis pelancaran, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB seterusnya hadir menyaksikan persembahan padang dan demonstrasi secara langsung, sebelum membuat lawatan ke booth-booth pameran bagi meninjau sendiri pengisian serta berinteraksi bersama warga PPDB dan agensi-agensi yang terlibat.
Pameran yang berlangsung selama dua hari, bermula 31 Januari hingga 1 Februari 2026, menampilkan pelbagai pengisian interaktif merangkumi pameran jabatan dan formasi PPDB, Persatuan Keluarga Polis Diraja Brunei (PEKERTI), serta penglibatan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, di samping demonstrasi operasi kepolisan, pameran kenderaan serta kaunter penerangan dan kesedaran jenayah untuk orang ramai.



Antara tarikan utama majlis ialah persembahan padang dan demonstrasi yang melibatkan Pancaragam Polis, Pusat Latihan Polis, Pasukan Simpanan Polis (RU), serta Pasukan Gerak Khas (PGK), yang mempamerkan keupayaan, kesiapsiagaan dan profesionalisme warga PPDB dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
Penganjuran pameran ini bukan sahaja bertujuan memperingati 105 tahun penubuhan Pasukan Polis Diraja Brunei, malah turut menjadi platform mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat melalui pendekatan pendidikan, pencegahan jenayah dan perkongsian maklumat berkaitan keselamatan awam.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
