GADONG, Sabtu, 24 Januari 2026 – Badan Ugama Islam (BUI) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan Majlis Ceramah Sempena Isra’ Mi‘raj 1447 Hijrah yang berlangsung di Surau Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis. Turut hadir Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, para Pengarah dan Timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, kakitangan awam serta anggota-anggota PPDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Ayat-ayat suci Al-Quran. Seterusnya ceramah bertajuk “Bila Uniform dan Iman Seiring: Membina Polis Berdisiplin, Beriman dan Berintegriti” telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama dari Kementerian Hal Ehwal Ugama. Ceramah tersebut menekankan bahawa pemakaian uniform polis bukan sekadar simbol kuasa atau pakaian rasmi, malah merupakan satu amanah besar yang perlu disertai dengan iman yang kukuh serta nilai integriti yang tinggi.

Antara intisari ceramah ialah penekanan terhadap realiti tugas kepolisan yang menuntut kekuatan rohani, kesabaran dan keteguhan prinsip, dengan menjadikan nilai-nilai Islam seperti amanah, kejujuran serta keteladanan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai pedoman dalam melaksanakan tanggungjawab. Gabungan iman, disiplin dan integriti diyakini mampu membentuk anggota polis yang bukan sahaja cekal di lapangan, malah tenang, berprinsip dan berakhlak mulia dalam setiap tindakan, di samping peringatan agar sentiasa mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan serta memelihara sembahyang lima waktu. 

Majlis Ceramah Sempena Isra’ Mi‘raj ini diakhiri dengan bacaan doa khas memohon kesejahteraan dan kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan PPDB dalam memperkukuh pembangunan rohani dan sahsiah warganya, selaras dengan peranan pasukan polis sebagai pelindung keselamatan, penjaga keadilan serta contoh teladan kepada masyarakat. Semoga penghayatan terhadap peristiwa agung Isra’ Mi‘raj ini terus menyemai keinsafan dan memperkukuh semangat perkhidmatan berteraskan iman, disiplin dan integriti.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI