BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Januari 2026 – Sempena Sambutan Hari Polis ke-105 Tahun, Daerah Polis Brunei dan Muara (DPBM), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan Acara Walkathon DPBM yang berlangsung pada jam 7.00 pagi bertempat di Taman Rekreasi Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan.
Acara tersebut telah disertai oleh seramai 130 orang peserta, terdiri daripada pegawai-pegawai dan anggota-anggota polis dari balai-balai di bawah Daerah Polis Brunei dan Muara. Penganjuran walkathon ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuhkan semangat kebersamaan serta memupuk hubungan silaturahim dalam kalangan warga pasukan dan masyarakat setempat.

Hadir selaku Tetamu Kehormat, Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah, Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhd Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim. Turut hadir sebagai jemputan khas ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Haji Azree bin Haji Manaf; Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara dan Penghulu Mukim Pengkalan Batu, serta Ketua-Ketua Kampong.
Penganjuran aktiviti berunsurkan kesukanan dan kemasyarakatan ini mencerminkan komitmen berterusan PPDB dalam memperkukuhkan hubungan strategik bersama masyarakat, di samping menyemai semangat perpaduan, kesejahteraan dan kerjasama sejajar dengan aspirasi Hari Polis ke-105.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
