Bandar Seri Begawan, Selasa, 13 Januari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput untuk menyampaikan taklimat bertajuk “Penipuan Dalam Talian” dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman jenayah siber yang semakin berleluasa.

Pada sebelah pagi, taklimat telah diadakan khas untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, dengan penyertaan seramai 139 orang ibu bapa dan penjaga serta 11 orang guru. Turut hadir ialah Timbalan Pengetua Akademik, Yang Mulia Cikgu Awang Mohammad Zulhisham Shah bin Haji Napiah dan Timbalan Pengetua Pentadbiran, Yang Mulia Cikgu Dayang Norliza binti Suhailee.

Manakala pada sebelah petang, taklimat yang sama telah disampaikan kepada peserta Kursus Induksi serta kakitangan Jabatan Belia dan Sukan yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Taklimat ini telah dihadiri oleh Yang Mulia Dayangku Yati binti Pengiran Rumbli, Pemangku Pegawai Latihan, Jabatan Belia dan Sukan, bersama 44 orang kakitangan.

Kedua-dua sesi taklimat telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, yang menekankan kepentingan kewaspadaan, langkah pencegahan serta peranan masyarakat dalam membendung jenayah penipuan dalam talian.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI