GADONG, Khamis, 15 Januari 2026 – Sempena ulang tahun penubuhannya, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Upacara Perbarisan Hari Polis Ke-105 di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis, Gadong, pada pagi tadi. Sambutan tahun ini bertemakan “Memperkasa Pasukan ke Arah Wawasan 2035.”

Upacara tersebut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, selaku Tetamu Kehormat.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis; Pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis; pegawai, anggota dan kakitangan awam PPDB serta jemputan khas termasuk mantan-mantan pegawai dan anggota PPDB.

Upacara dimulakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan dan Kontinjen Perbarisan yang diiringi oleh Pasukan Pancaragam PPDB. Seterusnya, Tetamu Kehormat dalam ucapannya, menegaskan bahawa Sambutan Hari Polis Ke-105 menjadi wadah untuk menghargai jasa, pengorbanan dan komitmen berterusan warga PPDB dalam menjamin keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan negara. Setelah lebih satu abad berkhidmat, PPDB kekal sebagai institusi keselamatan yang dipercayai dan dihormati. Penekanan turut diberikan kepada kepimpinan berteraskan amanah, integriti dan ketelusan sebagai tunjang kecemerlangan pasukan, selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Upacara diteruskan dengan Penyampaian Sijil Kepujian oleh Tetamu Kehormat kepada 21 orang anggota, terdiri daripada 5 pegawai dan 16 ahli pangkat rendah, sebagai pengiktirafan atas dedikasi dan kecemerlangan dalam pelaksanaan tugas.

Majlis kemudiannya disemarakkan dengan Perbarisan Berjalan Lalu dalam masa perlahan dan cepat oleh Kawalan Kehormatan, Rombongan Panji-Panji Diraja PPDB serta kontinjen-kontinjen perbarisan, diiringi Pasukan Pancaragam PPDB.

Tema sambutan pada tahun ini mencerminkan iltizam PPDB untuk terus memperkasa keupayaan, kecekapan dan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks, selaras dengan peranan masyarakat sebagai rakan strategik dalam memelihara keamanan dan kestabilan negara.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI