BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Januari 2026 – Bersempena Sambutan Hari Polis ke-105, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaasin dan Tahlil bagi memperingati Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman, serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Majlis yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan ini dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, serta para pengarah, ketua formasi, pegawai, anggota dan kakitangan PPDB.

Bacaan Surah Yaasin dan Tahlil telah dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong PPDB, Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar. Majlis keagamaan anjuran Badan Ugama Islam (BUI) PPDB ini diadakan sebagai tanda penghormatan dan doa berterusan agar roh para Al-Marhum dan Al-Marhumah dicucuri rahmat, serta bagi memohon perlindungan, keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata‘ala demi kesejahteraan pasukan dan negara.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
