Belait, Isnin, 5 Januari 2026 – Sempena Sambutan Hari Polis ke-105, Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan satu aktiviti kebajikan berupa Kempen Kebersihan di Pusat Khidmat Masyarakat Seria (Community Service Centre), Jalan Lorong 1 Barat, Seria.
Kempen tersebut diketuai oleh Pemangku Pemerintah Daerah Polis Belait, Penguasa Polis (Supt.) Pg Abu Naba’a bin Pg Haji Yusof. Turut serta ialah pegawai-pegawai kanan, anggota Daerah Polis Belait, ketua-ketua kampung serta ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK). Penyertaan lebih daripada seratus orang jelas mencerminkan semangat kerjasama erat antara pihak polis dan masyarakat setempat dalam menjayakan aktiviti berkenaan.

Pelaksanaan kempen kebersihan ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu meringankan bebanan warga Pusat Khidmat Masyarakat Seria, malah turut menjadi wadah bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim, memupuk rasa tanggungjawab bersama serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan dan kesejahteraan persekitaran.
Aktiviti ini merupakan salah satu daripada rangkaian program yang dianjurkan bersempena Sambutan Hari Polis ke-105, selaras dengan komitmen PPDB dalam mengamalkan pendekatan kepolisan berteraskan masyarakat serta memperkukuh penglibatan aktif orang ramai dalam usaha mewujudkan persekitaran yang selamat, harmoni dan sejahtera.




Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
