GADONG, Rabu, 31 Disember 2025 – Sempena memperingati Hari Polis ke-105, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) PPDB telah menganjurkan Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran yang berlangsung di Surau Polis Gadong.
Majlis keagamaan tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran di samping memohon perlindungan, rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata‘ala, agar seluruh warga PPDB sentiasa berada dalam lindungan-Nya serta dikurniakan keselamatan, ketabahan dan kekuatan rohani dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Hadir menyempurnakan majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Aimi Safwan bin Zalidin selaku Pengerusi BUI PPDB, para Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan anggota pangkat rendah dan kakitangan awam PPDB.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang turut disertai doa khusus memohon perlindungan dan rahmat Allah SWT agar warga pasukan sentiasa dipelihara daripada sebarang ancaman dan perkara yang tidak diingini.
Majlis seumpama ini mencerminkan usaha berterusan PPDB dalam memperkukuhkan penghayatan nilai-nilai keagamaan serta memperteguh keinsafan dan kesepaduan rohani warga pasukan, sejajar dengan komitmen untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti, keikhlasan dan dedikasi demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
