TUTONG, RABU 24 Disember 2025 – Dalam usaha untuk memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang serta memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melaksanakan satu Operasi Sepadu bersama beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang pada 24 Disember 2025 yang melibatkan tiga (3) lokasi sasaran, iaitu sekatan jalan raya serta pemeriksaan bangunan dan tempat tinggal di sekitar Daerah Tutong.
Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Buruh, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan melibatkan seramai 127 pegawai dan anggota, yang diketuai oleh ASP Ahmad Faez bin Hj Mohd Hani, Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong.
Hasil Operasi Sepadu mendapati sebanyak 12 kompaun kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan oleh PPDB di bawah Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68. Selain itu, lapan (8) individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan pemilikan barang tegahan kastam, pelanggaran undang-undang imigresen serta ketidakpatuhan peraturan buruh. Beberapa rampasan rokok dan minuman keras tanpa permit sah turut dilakukan dan kesemua kes telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya mengikut undang-undang yang diperuntukkan.



PPDB akan terus komited melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara dalam suasana yang aman dan harmoni.
Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada Balai Polis berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
