Bandar Seri Begawan, Isnin, 18 Disember 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) terus aktif dalam menyebarkan maklumat mengenai kesedaran jenayah siber yang semakin menular. Salah satu inisiatif yang dilakukan adalah melalui taklimat yang diberikan kepada beberapa agensi kerajaan, agensi swasta dan sekolah-sekolah. 

Baru-baru ini, BSJS PPDB telah menyampaikan taklimat mengenai penipuan dalam talian bertempat di The Rizqun International Hotel, The Mall Gadong, kepada 60 orang ahli-ahli pengawasan kejiranan yang terdiri daripada Yang Berhormat, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampung serta sekuriti dan ahli-ahli premis perniagaan The Mall Gadong. 

Satu lagi taklimat yang sama diadakan pada hari Rabu, 17 Disember 2025 kepada kakitangan Syarikat VAM BRN Sdn Bhd, Jalan Muara yang terdiri daripada 77 orang pegawai dan kakitangan syarikat tersebut. 

Kedua-dua taklimat telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, Pegawai BSJS, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB. 

Peserta yang hadir telah diberikan saranan dan penekanan untuk tidak mengongsikan sebarang maklumat peribadi kemana-mana platform aplikasi media sosial dan sentiasa berwaspada dalam mengharungi era digital yang semakin canggih dan mencabar. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI