TEMBURONG, Khamis, 04 Disember 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melaksanakan satu Operasi Tinjauan di kawasan Bangar, Daerah Temburong.
Dalam operasi tersebut, pihak polis telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran simpang Tanjung Bungar.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut membawa barang tegahan iaitu lapan (8) paket rokok. Dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita warganegara tempatan, telah ditahan kerana disyaki memiliki barang tegahan serta merentas sempadan melalui laluan sungai tanpa sebarang dokumen yang sah.
Kesemua barang tegahan telah dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Bangar untuk siasatan lanjut. Pihak penguatkuasa daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) turut dimaklumkan bagi tindakan susulan.
PPDB akan terus proaktif dan komited dalam memastikan keselamatan masyarakat serta membanteras sebarang bentuk kegiatan jenayah dan aktiviti menyalahi undang-undang. Operasi ini mencerminkan ketegasan dan kesiapsiagaan PPDB dalam memantau serta menangani kegiatan penyeludupan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Kerjasama anda amat penting dalam mengekalkan keselamatan dan keharmonian bersama.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
