KUALA BELAIT, Sabtu, 29 November 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah diundang bagi menyampaikan taklimat bertajuk ’Penipuan Dalam Talian’ bertempat di Pejabat Daerah Kuala Belait. 

Taklimat itu telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, pegawai BSJS kepada Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua kampung. Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Belait iaitu Muhammad Faiq bin Haji Rani; Penghulu Mukim Sawat iaitu Yang Berhormat Awang Haji Mohd Salleh bin Haji Othman dan Ketua Kampung Bukit Sawat iaitu Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga telah hadir bagi mendengarkan sesi taklimat tersebut. 

Antara isu-isu yang disentuh semasa taklimat adalah mengenai kegiatan penjenayah siber dalam memanfaatkan penggunaan talian dan sosial media untuk mendapatkan wang secara haram daripada mangsa, tanpa mengira usia dan warga emas tidaklah terkecuali dari menjadi mangsa jenayah berkenaan.

Oleh pada itu, para peserta diperingatkan untuk sentiasa berhati-hati apabila berhadapan dengan sebarang tawaran dan tidak mengongsikan maklumat peribadi dengan mudah serta disarankan untuk melakukan semakan terlebih dahulu. Diharap taklimat seperti ini akan dapat memberi kesedaran kepada para peserta untuk sentiasa peka dalam penggunaan sosial media dan berhubung dengan orang yang tidak dikenali. 

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI