GADONG, Rabu, 12 November 2025 – Pada menjunjung Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 15 orang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berpangkat Inspektor Percubaan telah diperkenankan untuk ditetapkan pangkat sebagai Inspektor berkuat kuasa mulai 10 November 2025. 

Sehubungan dengan itu, satu majlis telah diadakan bagi meraikan penetapan pangkat pegawai-pegawai berkenaan yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis.  Turut berangkat ke majlis, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohd Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, pengarah-pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB serta keluarga pegawai-pegawai yang ditetapkan pangkat. 

Bagi memberkati majlis, aturcara dimulakan dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian penetapan pangkat dan sesi bergambar ramai bersama pegawai-pegawai serta keluarga, sebelum majlis berakhir.

PPDB berharap semoga dengan penetapan pangkat ini akan dapat menjadi inspirasi kepada pegawai-pegawai untuk terus berkhidmat dan memberikan yang terbaik kepada pasukan. 

PHOTO-2025-11-12-18-56-00 2.jpg
PHOTO-2025-11-12-18-56-00.jpg
PHOTO-2025-11-12-18-56-01 3.jpg
PHOTO-2025-11-12-18-56-01 2.jpg

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI