GADONG, Khamis 18 September 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) PPDB, telah mengadakan Majlis Ceramah Sempena Maulud Nabi Muhammad S.A.W. dan Solat Sunat Hajat khusus bagi penuntut-penuntut yang akan menduduki Peperiksaan Akhir Tahun, di Surau Polis Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut adalah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir ialah PengarahPengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai-Pegawai Pemerintah, Ketua Formasi, Kakitangan Awam serta anggota-anggota PPDB. 

Majlis dimulakan dengan solat sunat hajat, bacaan selawat Tafrijiyyah dan Saiyyidul Istighfar. Solat Sunat Hajat dan doa khas adalah untuk memohon syafaat Allah S.W.T bagi penuntut-penuntut yg bakal menghadapi peperiksaan akhir tahun ini. Majlis ini juga diharap dapat mengukuhkan jalinan ukhuwah dalam kalangan masyarakat serta mendekatkan hubungan antara PPDB. 

Seterusnya, ceramah sempena sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bertajuk “Rasulallah Salallahu Alaihi Wassalam Adalah Tauladan Keluarga, Sakinah, Mawaddah Dan Warrahmah” yang telah disampaikan oleh penceramah undangan YM Ustaz Hj Awg Muhammad Najib bin Hj Awang, Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam. 

Antara intipati ceramah menekankan contoh terbaik Rasulullah dalam membina keluarga bahagia dan harmoni melalui amalan kasih sayang, kerjasama dan berpandukan Al-Quran dan Al-Hadith. 

Doa selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar bagi memberkati majlis tersebut. 

Penganjuran majlis seumpama ini dapat memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dengan penuh keberkatan, di samping memohon Taufiq dan Inayah Allah Subhanahu Wata‘ala agar para penuntut dipermudahkan dalam peperiksaan dan berjaya dengan cemerlang.

ceramahh2.jpg
ceramahh1.jpg
ceramahh.jpg
ceramahh3.jpg

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI