BRUNEI-MUARA, Isnin 1 September 2025 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membenteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah memberikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada tiga puluh dua (32) orang petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan ahli pangkat rendah Polis Marin (PolMar), PPDB bertempat di bilik syarahan ibu pejabat Polis Marin.

Objektif utama taklimat ini adalah bertujuan untuk memberikan pengetahuan yang lebih dalam dan memahami secara lebih terperinci tentang mengenal pasti elemen-elemen dan indikasi mangsa yang berpotensi terlibat di dalam jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam. Kepentingan para petugas Polis Marin adalah untuk mengenal pasti sekiranya terdapat tangkapan dari penyeludupan orang di perairan atau sempadan air yang berpotensi menjurus kepada jenayah pemerdagangan orang yang telah dieksploitasi bagi tujuan pelacuran, perhambaan, buruh paksaan atau penjualan organ badan. Antara perkara yang dibentangkan dalam taklimat ini adalah maklumat yang telah dikongsikan iaitu fungsi dan peranan USPM, perkongsian case study bagi kes-kes pemerdagangan orang yang telah berjaya dihadapkan ke muka pengadilan yang memenuhi semua indikasi unsur-unsur pemerdagangan orang yang telah disiasat oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia semenjak tertubuhnya unit ini pada 16 Ogos 2011. Taklimat telah disampaikan pegawai berserta anggota-anggota di USPM.

marinn1.jpeg
marinn.jpeg
marinn3.jpeg

Dikeluarkan oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI