BRUNEI MUARA, Isnin 1 September 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang telah melaksanakan Operasi Sepadu yang melibatkan seramai 197 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (HTU), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan​ (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) serta Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU). 

Operasi berkenaan diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara Bahagian Operasi (A/OCPD OPS), DSP Pengiran Haj​​​i Khairul Hakimin bin Pengiran Haji Kamaludin, bersama pegawai serta anggota dari PPDB dan agensi-agensi terlibat. 

Sasaran operasi tertumpu di beberapa gedung perniagaan sekitar Bandar Seri Begawan yang dijalankan secara serentak di kawasan Jalan McArthur, Jalan Sultan, Jalan Roberts serta di bangunan flat kawasan Jalan Berangan. Selain itu, sekatan jalan raya turut diadakan di salah sebuah laluan utama di ibu negara. 

Hasil operasi adalah seperti berikut: 

• PPDB – Sebanyak 186 buah kenderaan diperiksa. Dua pemandu dikompaun atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala empat pemandu diberikan peringatan. 

• JKED – Empat orang ditahan atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. 

• BKN – Seorang lelaki ditahan atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah. 

• JPE – Sebuah rumah dikesan menggunakan meter elektrik tanpa paparan monitor. 

• Jabatan Buruh – Seramai 46 pekerja daripada 30 syarikat diambil keterangan, dengan beberapa majikan didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009. 

• JIPK – Dua orang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen. • JBBSB – Tiga kesalahan dicatatkan di bawah Bab 12(1)(f), Akta KesalahanKesalahan Rampaian Penggal 30 iaitu meninggalkan kenderaan terbiar. 

• BPU – Sepasang lelaki dan perempuan warga tempatan yang beragama Islam disyaki melakukan kesalahan khalwat di sebuah bilik sewa. 

Operasi sepadu ini merupakan langkah proaktif pihak berkuasa dalam memperkukuhkan semangat kerja berpasukan serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan negara. Inisiatif ini juga bertujuan membendung sebarang kegiatan jenayah, khususnya menjelang Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam peringkat Negara 1447 Hijrah yang dijadualkan berlangsung pada 6 September 2025. 

operasi sepadu 111111.jpeg
operasi sepadu 11111111.jpeg
operasi sepadu 1111111111.jpeg
operasi sepadu 1111111.jpeg

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI