BANGAR, TEMBURONG, Selasa, 29 Julai 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melaksanakan dua operasi pemantauan dan pencegahan jenayah hasil maklumat serta risikan berterusan di sekitar kawasan Bangar dan Kampung Bekarut, Daerah Temburong.
Dalam operasi pertama yang dijalankan sekitar jam 2.40 pagi, sepasukan anggota Balai Polis Bangar telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Bangar. Kenderaan tersebut berjaya ditahan bersama dua orang lelaki warganegara tempatan berumur 29 tahun dan 28 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan membawa barang-barang yang tidak diisytiharkan, iaitu 12 kotak (144 paket) tongkeng ayam dan 1 paket rokok.
Sementara itu, dalam operasi kedua kira-kira jam 3.20 pagi, pasukan yang sama turut menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di sebuah rumah di Kampung Bekarut, Temburong. Pemeriksaan teliti di kawasan bawah rumah dan semak berhampiran telah menemui beberapa kotak yang dipercayai mengandungi barang tegahan. Pemeriksaan selanjutnya mendapati tiada individu berada di dalam rumah tersebut. Pemeriksaan ke atas kotak-kotak berkenaan menemui beberapa barang tegahan, iaitu 4 kotak sayap ayam, 16 kotak (192 paket) tongkeng ayam, 9 kotak (54 paket) itik, dan 2 kotak hati buyah.
Suspek-suspek dan kesemua barang rampasan daripada kedua-dua operasi berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.
PPDB ingin mengingatkan orang ramai bahawa penglibatan dalam kegiatan penyeludupan barang tegahan seperti makanan beku, rokok dan sebagainya adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang negara. Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan awam serta menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. Kerjasama semua pihak amat penting demi memelihara keselamatan negara.




Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
