BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 April 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melaksanakan beberapa operasi bersepadu yang melibatkan pegawai dan anggota dari pelbagai unit dan agensi penguatkuasaan undang-undang. Operasi ini melibatkan penyertaan Balai Polis Limau Manis, Balai Polis Sengkurong, Unit Digital Forensik, Unit Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) serta Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AEBD), Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Operasi tersebut diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Supt. Haji Muhd Shaker bin Haji Nayan, dengan kerjasama bersama pegawai dan anggota dari agensi-agensi yang terlibat.
Tindakan bersepadu ini dilaksanakan secara serentak di beberapa lokasi strategik, termasuk di Tapak Perindustrian Sangai-Sangai, Jalan Sangai-Sangai Burong Lepas Kampong Bengkurong, serta Tapak Perindustrian Ringan Lugu, Mukim Sengkurong. Hasil siasatan mendapati berlakunya aktiviti penyelewengan bekalan elektrik yang digunakan untuk mengoperasikan peralatan seperti mesin “mining” bagi tujuan perlombongan mata wang kripto (Bitcoin).
Kesemua barangan bukti yang berkaitan telah dirampas untuk siasatan lanjut. Seorang suspek warga tempatan telah ditahan dan kini disiasat di bawah Akta Elektrik kerana kesalahan penyelewengan bekalan elektrik tanpa kebenaran.
PPDB memberi amaran bahawa penyelewengan bekalan elektrik adalah satu kesalahan serius yang bukan sahaja membahayakan keselamatan awam dan harta benda, malah boleh dikenakan tindakan tegas dibawah undang-undang Negara Brunei Darussalam. Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah hendaklah disalurkan segera ke balai polis terdekat atau melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
