BRUNEI MUARA, Selasa 18 Februari 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu Operasi Sepadu bersama agensi-agensi penguatkuasa undang undang yang melibatkan pegawai dan anggota seramai 238 orang dari Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (HTU), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran BSB (JBBSB), Jabatan Perkhidmatan Eletrik (JPE) dan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCI).
Operasi berkenaan telah diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara Bahagian Operasi (A/OCPD OPS) DSP Pengiran Haji Khairul Hakimin bin Pg Haji Kamaludin, Pegawai Penyiasat Jenayah Daerah Polis Brunei Muara (DSP) Mohammad Amerol bin Haji Metussin serta pegawai-pegawai dan anggota-anggota agensi yang terlibat dalam operasi semalam.
Sasaran operasi tertumpu di gedung-gedung perniagaan di Bandar Seri Begawan secara serentak telah dijalankan di kawasan Jln McArthur, Jln Sultan dan Jln Roberts. Sekatan jalanraya juga turut dijalankan di dua lokasi disekeliling Bandar Seri Begawan.
Berikutan hasil daripada operasi berkenaan;
• PPDB : 176 buah kenderaan diperiksa dan 9 kompaun dikeluarkan
• JKED : 2 orang ditahan atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok dibawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006
• BKN : 3 orang lelaki ditahan atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah
• JPE : 2 buah premis telah didapati kesalahan.
• Jabatan Buruh : 53 pekerja dari 19 syarikat, telah diambil keterangan dan mendapati kesalahan-kesalahan majikan dibawah Perintah Pekerjaan 2009.
• JIPK : Pemeriksaan dijalankan keatas 46 warga asing dan tidak mendapati kesalahan.
• ABCI : Mendapati 2 premis memerlukan pemeriksaan dan penilitian semula keatas struktur bangunan.
• HTU : 23 pekerja warga asing ditemubual, mendapati tidak ada unsur-unsur atau indikasi jenayah pemerdagangan orang semasa operasi ini dijalankan.
Objektif operasi sepadu ini adalah sebagai tindakan proaktif untuk memperkukuhkan semangat kerja berpasukan, khususnya dalam mencegah pelanggaran peraturan dan undang-undang di negara ini. Selain itu, operasi ini bertujuan membendung sebarang kegiatan jenayah sebelum berlangsungnya Majlis Doa Kesyukuran dan Hari Kemuncak Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 pada 23 Februari ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS PASUKAN
POLIS DIRAJA BRUNEI
