TUTONG, Isnin, 10 Februari 2025 – Satu Operasi Sepadu telah dijalankan oleh Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi membanteras kegiatan penyeludupan barangan larangan.
Berdasarkan maklumat perisikan, operasi ini menyasarkan sebuah kediaman di kawasan Kampung Mukim Keriam. Hasil serbuan mendapati sejumlah lima karton rokok seludup disembunyikan di dalam sebuah kenderaan di lokasi tersebut. Seorang suspek, lelaki warga tempatan berusia 23 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan lanjut.
PPDB menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dijalankan secara berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undangundang dapat dibendung. Orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
