GADONG, Selasa, 10 Februari 2025 – Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menumpaskan aktiviti tidak bermoral dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah bilik sewa sebuah rumah di Mukim Gadong. 

Serbuan tersebut menyasarkan kegiatan haram yang dipercayai melibatkan tawaran khidmat seks didalam talian. 

Hasil pemeriksaan ke atas bilik-bilik yang disyaki, pihak polis berjaya menahan empat wanita warga tempatan berusia antara 37 hingga 46 tahun. Turut dirampas sebagai bahan bukti ialah sejumlah wang tunai, beberapa keping kondom, pencuci kebersihan feminin, serta beberapa unit telefon bimbit. 

Kesemua suspek bersama bahan bukti telah dibawa ke JSJ untuk siasatan lanjut. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 atas kesalahan menawarkan khidmat seks. 

PPDB menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan risikan serta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini. Orang ramai juga disarankan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI